Pizli Mat Wazip, 41, merupakan seorang graduan cemerlang program Sarjana Reka Bentuk Pengajaran dan Teknologi di Majlis Konvokesyen Khas pada bulan Februari lepas. Berasal dari Perak dan kini menetap di Kajang, beliau bertugas sebagai Penolong Naib Presiden di pusat pembelajaran sebuah syarikat perkhidmatan perbankan. Di sini, Pizli kongsikan kisah pembelajaran beliau di OUM.


Seperti yang kita tahu, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah mengubah cara kita menjalani hidup seharian. Cara kita menjalani pembelajaran juga turut terkesan. Pada masa yang sama, kita perlu mengimbangi kehidupan seharian dengan membahagikan masa untuk kerjaya, keluarga dan pelbagai komitmen lain. Walau berdepan dengan pelbagai cabaran, kita berjaya membuktikan bahawa kita mampu dan berjaya menamatkan pembelajaran kita.


Bagi pihak rakan seperjuangan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada OUM kerana menyediakan platform pembelajaran sepanjang hayat yang fleksibel untuk pelajar yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, lapisan masyarakat dan latar belakang pendidikan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.


Platform dan teknologi pendidikan yang disediakan oleh OUM memudahkan kami untuk belajar tidak kira masa dan keadaan termasuk ketika negara kita sedang dilanda pandemik yang teruk pada suatu ketika dulu. Ia sesuatu yang sangat berharga dan menguntungkan kami sebagai pelajar.


Pizli menyambut kejayaan ini bersama ahli keluarganya.


Saya percaya bahawa semua graduan OUM punya 1,001 cerita berkenaan kenapa dan bagaimana kita berada di sini.


Bagi saya, untuk menjawab soalan “Kenapa?” itu adalah mudah. Saya anak peneroka FELDA dan kedua ibu bapa saya hanya mendapat pendidikan setakat sekolah rendah. Semenjak kecil, mereka selalu menasihati saya supaya belajar dengan tekun bagi menggapai tahap tertinggi dalam pelajaran. Sesuatu yang mereka sendiri tidak dapat atas kesempitan hidup mereka pada masa dahulu.


Mereka sentiasa menyokong saya dari sekolah rendah sehingga ke peringkat pascasiswazah, walaupun saya kini sudah dewasa. Ketekunan ibu bapa saya bekerja di ladang sawit menjadi sumber inspirasi saya dalam menjalani kehidupan termasuk juga dalam pekerjaan dan pembelajaran. Saya juga berharap perjalanan saya belajar ini dapat menjadi contoh kepada anak-anak saya.


Bagi menjawab soalan “Bagaimana?” pula adalah agak mencabar dan saya pasti semua graduan OUM berkongsi beberapa perkara yang lebih kurang sama. Mengimbangi pekerjaan, keluarga dan pembelajaran bukanlah satu tugas yang mudah. Adakalanya tugasan yang diberikan hanya dapat disiapkan pada saat-saat akhir. Ada juga masa di mana saya perlu berjaga dari malam hingga ke subuh bagi memastikan hasil tugasan yang berkualiti dapat dihantar kepada tenaga pengajar.


Pada saya, semua cabaran ini adalah sesuatu yang menarik untuk saya lalui dan menjadi salah satu kisah hidup yang mungkin boleh dijadikan contoh suatu hari nanti. Ini mengingatkan saya kepada satu petikan ayat iaitu, “Aim to inspire, not to impress.” Semoga perkara-perkara baik yang kita lakukan seperti tidak berputus asa dalam pembelajaran akan menjadi inspirasi kepada orang lain suatu hari nanti.


Kita semua kini dilengkapi dengan kelayakan akademik yang baharu berserta pengalaman yang tidak ternilai yang telah memperkasakan diri kita. Dalam kehidupan, setiap penghujung adalah permulaan yang baharu. Saya yakin bahawa kita akan terus mendaki, seolah-olah kita berada di tangga yang tidak berkesudahan untuk maju ke ketinggian yang tidak pernah kita capai sebelum ini. Atas sebab itu, saya menggesa semua pelajar dan graduan untuk memastikan bahawa anda berada di tangga yang anda benar-benar inginkan. Ingatlah bahawa itu kehidupan dan perjalanan anda.


Saya juga percaya kelayakan akademik ini akan dapat memberi peluang-peluang baharu kepada kita semua. Cubalah gunakannya untuk mencapai impian dan cita-cita kita selama ini.


Buat rakan-rakan graduan, janganlah kita berhenti di sini. Teruskan belajar dan capai kejayaan yang lebih besar. Saya doakan agar kita semua berjaya dalam apa jua perkara yang kita lakukan.